Isnin, 4 Februari 2008

Jadual Program Ziarah Habib Umar di Malaysia

Alhamdulillah, seorang ulama ulung telah memasukkan Malaysia sebagai sebuah negara yang akan dilawati beliau apabila beliau mengadakan siri kunjungan ke Asia Tenggara. Sungguh bertuah bumi Malaysia kerana sering diziarahi oleh para ulama. Ulama yang aku maksudkan adalah al-Da’ie illaLlah al-Musnid al-Haafidz al-Murabbi al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz bin Asy-Syeikh Abu Bakar bin Salim al-Husaini al-Hadrami, pengasas Maahad Darul Musthafa, Tarim, Hadramaut, Yaman.

Maka Abu Zahrah menyeru kepada para pengunjung blog al-Fanshuri dan Majlisilmu untuk kita sama-sama menghadiri majlis-majlis yang bakal diadakan sempena kunjungan Habib Umar حفطه الله ke Malaysia. Rebutlah peluang keemasan ini. Tidak rugi meluangkan sedikit masa untuk menghadiri majlis bersama ulama.



Tersebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى , pada halaman 4: Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر

Yakni [artinya] lazim atas kamu dengan bersama duduk [bersama] ulama’ yang berbuat ‘amal dengan ‘ilmunya dan menuntut mendengar perkataan auliya Allah yang mempunyai ilmu haqiqat, maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah, (berkata qaum [sufi] seorang berhimpun bersama-sama ahlullah mendapat ia kelakuan yang mulia dan lagi sebenar memberi manfaat dengan berhimpun bersama-sama mereka itu terlebih memberi manfaat daripada lafaz lidah) maka bahwasanya Allah menghidupkan Ia akan hati yang buta dengan nur ilmu yang memberi manfaat seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.


Asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani رحمه الله تعالى, di dalam kitabnya Nasha-ihul Ibad fi bayani al-Faadzi al-Munabbihaat 'alal Isti'daadi Li Yaumil Ma'adi pada halaman 4, beliau telah memberi penjelasan bahwa yang dimaksudkan dengan:
  • Ulama’ ialah orang-orang ‘alim yang mengamalkan ilmunya
  • Hukama’ ialah orang-orang yang mengetahui/mengenal zat Allah Ta’ala, yang betul dan tepat dalam perkataan dan perbuatan mereka.
  • Hikmah itu adalah ilmu yang memberi manfaat

Seterusnya asy-Syaikh Nawawi al-Bantani رحمه الله تعالى mengklasifikasikan ulama’ itu kepada 3 bahagian:
  • Ulama’ yang ‘alim tentang hukum-hakam, mereka adalah ashhab al-fatwa, yakni mempunyai hak untuk memberi fatwa
  • Ulama yang ‘alim [ma'rifat] akan dzat Allah sahaja. Mereka ini adalah golongan hukama. Bergaul, berdamping dengan mereka menjadikan akhlaq terdidik, kerana dari hati mereka bersinar cahaya ma’rifatullah dan terbit dari sirr mereka cahaya keagungan Allah.
  • Dan ulama yang memiliki kedua-dua shifat diatas, mereka itu kubara’. Maka bergaul dengan ahlullah mendatangkan ahwal yang mulia. Lirikan mereka lebih mendatangkan manfaat dari daripada ucapan mereka. Dan barangsiapa yang lirikannya memberi manfaat kepadamu, maka bermanfaatlah kata-katanya, dan barangsiapa yang lirikannya tidak memberi manfaat kepadamu, maka kata-katanya tidak akan mendatangkan manfaat.

Selanjutnya asy-Syaikh Nawawi al-Bantani رحمه الله تعالى عنه membawakan sepotong hadits:

سيأتي زمان أمتي يفرون من العلماء والفقهاء فيبتليهم الله بثلاث بليات: أولاها يرفع الله البركة من كسبهم، والثانية يسلط الله تعالى عليهم سلطان ظالما، والثالثة يخرجون من الدنيا بغير ايمان

Artinya: Akan datang satu zaman atas umatku dimana mereka lari [menjauhkan diri] daripada [ajaran dan nasihat] ulama' dan fuqaha', maka [akibatnya] Allah Ta’ala menimpakan tiga (3) bencana atas mereka iaitu yang pertama, Allah mengangkat (menghilangkan) keberkatan dari usaha mereka, kedua, dikuasakan penguasa yang dzalim atas mereka dan ketiga, mereka keluar dari dunia [mati] tanpa membawa iman.

[Kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh ash-Shaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى adalah merupakan sebuah kitab terjemahan dari kitab al-Munabbihat 'alal Isti'dat li Yaumil Ma'ad oleh Ahmad ibn Hajar al-Asqolaani رحمه الله تعالى . Kitab al-Munabbihat 'alal Isti'dat li Yaumil Ma'ad juga telah diberi syarah oleh ash-Shaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani رحمه الله تعالى (yang digelar oleh ash-Shaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani رحمه الله تعالى sebagai Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua) didalam kitabnya Nasha-ihul `Ibad.]

Maka disini aku turunkan jadual lawatan Habib Umar حفظه الله ke Malaysia

2 Safar 1429H/ 9 Februari 2008 (Sabtu)
Tiba dari Singapura.

3 Safar 1429H/ 10 Februari 2008 (Ahad)
- Ziarah al-‘Arifbillah Habib Ali bin Ja’afar al-Aidrus حفظه الله
- Ke Melaka. Ziarah dan program bersama anak Habib Ali bin Ja’far al-Aidrus حفظه الله
- Maghrib di Kg Ulu, Bandar Melaka

4 Safar 1429H/ 11 Februari 2008 (Itsnin)
  • Berangkat ke Kelantan Darul Naim. Kunjungan hormat kepada YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan Darul Naim. Majlis Ramah Mesra Bersama Dato’ Menteri Besar dan YB Timbalan Menteri Besar serta beberapa orang Exco Negeri. Penyampaian Cenderahati
  • Lawatan ke YIK dan KIAS. Majlis Ramah Mesra dan Perbincangan Manhaj Pengajian
  • 2.30 petang - Ziarah Makam Tok Kenali
  • 3.30 ptg - Lawatan Ke Pondok Moden Kandis, Bachok.Majlis Ramah Mesra Warga Pondok Moden
  • Berangkat Ke Pondok Pasir Tumbuh. Solat Maghrib. Majlis Zikir & Maulid. Ceramah Memperingati Ulamak Silam (Tok Kenali)

5 Safar 1429H/ 12 Februari 2008 (Selasa)
  • 9.30 pagi - Bicara Ilmu (Balai Islam Lundang, Kelantan). Sesi Penyampaian Ceramah:Tajuk : “al-Tariqah al-Sufiyah Sebagai Dakwah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah Berhadapan Arus Globalisasi”.
  • 10.30 pagi - Minum Ringan
  • 11.00 pagi - Sesi Dailog dan Soal Jawab
  • 2.30 petang - Majlis Tausiyat dan Taujihat Kepada Pelajar. Sesi Penyampaian Ceramah Tajuk : “Madrasah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah Dalam Pembinaan Spritual, fikrah dan Fizikal Pelajar Muslim”. Sesi Soal Jawab
  • Program bersama para saadah Ba’alawi Kelantan
  • 9.00 malam - Ceramah Perdana (Padang Perdana Kota Bharu). Tajuk ceramah: Hijrah al-Rasul

6 Safar 1429H/ 13 Februari 2008 (Rabu)
  • Berangkat ke Terengganu Darul Iman Kunjungan hormat kepada YAB Dato’ Sri Menteri Besar Terengganu Darul Iman.
  • 3.00 petang - Pertemuaan dengan Para Pendakwah Terengganu.
  • 7.00 petang - Kuliah Maghrib di Masjid Cabang 3.

7 Safar 1429H/ 14 Febuari 2008 (Khamis)
  • 8.00 pagi - Lawatan ke Universiti Darul Iman ( KUSZA ) .
  • Kembali ke Kuala Lumpur
  • 7.00 petang – 9.30 malam di Masjid Putra Jaya. YAB Perdana Menteri Malaysia akan turut bersama.






8 Safar 1429H/ 15 Februari 2008 (Jum’at)

  • Berkhutbah Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak
  • Malam – Program di Madrasah al-Hasaniah (Yayasan Sofa), Shaikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki ar-Rembawi. – Rembau, Negeri Sembilan.

9 Safar 1429H/ 16 Februari 2008 (Sabtu)
  • 10.00 pagi - Muhadarah di Seminar Fiqh Nusantara. Anjuran Yayasan Itmam, Abim,Muafakat dan Persatuan Ulama’. Pembentangan oleh Habib Umar di sebalah pagi sebagai tetamu undangan atas tajuk, “Hubungan FIQH MAZHAB SHAFIE dengan ALIRAN ASYA'IRAH”. Pembentangan ini akan diterjemahkan ke Bahasa Melayu
  • Seminar Fiqh Nusantara ini diadakan dari jam 8.30 pagi – 5.00 petang bertemakan MENGURANGKAN KEKELIRUAN – PENGUKUHAN PERPADUAN. Seminar berlangung di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pendaftaran dan Bayaran : Pelajar (RM5) / Dewasa (RM10) Untuk penyertaan dan lebih pasti sila hubungi Tuan Haji Ghazali 019-3402578 atau En Fadzil 012-3307172 atau layarilah website ini atau sila lihat aturcaranya di sini
  • 7.30 malam - JILSAH DI MASJID AL-FALAH USJ 9, SUBANG JAYA, SELANGOR DARUL EHSAN. Majlis bermula dari jam 5.30 petang. Tajuk ceremah Habib Umar adalah Tariqat Sufiyah: Definisi, sejarah, kepentingan dan peranannya di dalam penyebaran dakwah Islam. Insyaallah ada penterjemah ke bahasa Melayu.

9 Safar 1429H/ 17 Februari 2008 (Ahad)
  • Pertemuan dengan para pelajar Madras Nur
  • Habib Umar dan Rombongan berangkat kembali ke Yaman .


Tiada ulasan: