Jumaat, 30 Januari 2009

Majlis Haul al-Habib Muhsin bin Umar al-‘Atthas



Tarikh: 4 Shafar 1430H / 31 Januari 2009 (Sabtu)
Masa: Bermula jam 6.30 petang
Lokasi: Yayasan al-Jenderami, Jenderam.


Biografi ringkas al-Habib Muhsin bin Umar al-‘Atthas

Beliau adalah Muhsin bin Umar bin Abdullah bin Muhammad bin Abdullah bin ‘Aqil al-‘Atthas. Dilalhirkan pada hari Ahad, 8 Rajab 1354H bersamaan 6 Oktober 1935M di desa Pedawa, Idi Aceh. Ayah beliau al-Habib Umar bin ‘Abdullah al-‘Atthas berasal dari Hadramaut, kemudian berhijrah ke Aceh. Habib Muhsin membesar sebagai seorang anak yatim kerana ayahandanya wafat ketika beliau masih kecil.


Oleh kerana beliau seorang yatim, maka setelah menghabiskan pengajiannya disebelah pagi, disebelah petangnya beliau akan membantu bondanya dengan bekerja. Beliau berjaya memlanjutkan pelajarannya ke IAIN ar-Raniri di Banda Aceh, namun baru setahun disana, beliau berhenti untuk sementara. Beliau bermusafir ke Pekalongan di Jawa Timur untuk mencari dan menziarahi kaum kerabatnya sebagaimana yang diwasiatkan oleh ayahanda beliau. Dan beliau berjaya menemui dan menziarahi mereka.

Sewaktu di Pekalongan, Habib Muhsin jatuh sakit. Dan dengan taqdir Allah beliau, ditemukan dengan al-‘Allamah al-Muhaddits al-Habib ‘Abdul Qadir Blfaqih di Pekalongan. al-‘Allamah al-Muhaddits al-Habib ‘Abdul Qadir Blfaqih adalah pengasas kepada Ma’had Darul Hadits, Malang. Dan beliau telah diijazahkan oleh al-Habib ‘Abdul Qadir Bilfaqih dengan shalawat Thibb untuk beliau amalkan dan berpesan agar datang ke Malang apabila beliau telah sembuh.


Maka setelah sembuh beliau ke Malang untuk menunaikan janjinya kepada al-Habib ‘Abdul Qadir. Sesampainya beliau disana, beliau telah diminta oleh Habib ‘Abdul Qadir untuk menjadi tenaga pengajar di Darul Hadits. Beliau mengajar di sana selama 6 tahun dan kemudiannya pulang semula keAceh untuk menghabiskan pengajiannya di IAIN ar-Raniri. Setelah 4 tahun beliau berjaya menghabiskan kuliah dengan maraih gelar Drs. Seusai pengajian beliau, beliau mendapat sebagai guru di Aceh. Dan dalam masa yang sama beliau menerima surat dari al-Habib Abdullah bin ‘Abdul Qadir Bilfaqih meminta beliau datang ke Darul Hadits, Malang. Hasil dari shalat istikharahnya beliau mengambil keputusan untuk kembali ke Malang. Dan beliau berkhidmat sebagai pengajar di Darul Hadits, Malang, Surabaya selama 20 tahun.


Berkhidmat di Madrasah al-‘Atthas Johor. Beliau berkhidmat di Madrasah al-‘Atthas Johor diatas permintaan dan undangan dari a-Habib Ali bin Muhammad al-Atthas, iaitu Nazir Madrasah al-Atthas Johor Baharu ketika itu. Setelah 16 tahun berkhidmat di Malaysia, beliau kembali ke Indonesia dan membuka sebuah Pesantren khusus untuk pelajar perempuan. Beliau membukanya diatas saranan al-Habib Muhammad bin Husein Ba’abud iaitu pengasas dan pengasuh Ma’had Darun Nasyi’in Lawang. Pesantren yang dibuka oleh Habib Muhsin bin Umar al-Atthas ini diberi nama Ma’had Babul Khairat Litarbiyatil Banat. Setelah itu beliau membeli tanah di Pasuruan dan bercita-cita untuk membuka Pasentren untuk pelajar lelaki pula. Namun usaha ini tidak kesampaian kerana beliau jatuh sakit. Beliau mengalami sakit kegagalan buah pinggang.


Pada hari Sabtu, 26 Muharram 1427H bersamaan 25 Februari 2006M, al-Habib Muhsin bin Umar al-Atthas menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu.

Al-Habib Muhsin adalah seorang ulama yang lemah-lembut; merendah diri; menyintai anak yatim – beliau sering berusaha mencari dana untuk keperluan hidup dan pendidikan anak-anak yatim; suka menziarahi kaum kerabat untuk mengukuhkan silaturrahim; seorang yang menepati janji; tidak pernah menyakiti hati orang lain; pemurah harta, ilmu dan nasihat; … pendekata beliau mempunyai akhlaq yang mulia dan disenangi ramai.


Tiada ulasan: